Sunday, February 13, 2011

[ULASAN] King's Speech Realiti Kehidupan Monarki Beraja England

LATAR BELAKANG FILEM

Baru sahaja selesai menonton filem King's Speech yang akan berada di pawagam Malaysia pada 17 Februari 2011. Filem ini telah ditayangkan di US bermula 10 December lalu dan di UK bermula 7 Januari 2011. Dengan kos pembikinan lebih kurang RM60 juta, filem selama 2 jam ini diarahkan oleh Tom Hooper.

Kerangka utama filem ini mengisahkan kehidupan King George VI (bapa kepada Ratu England sekarang, Queen Elizabeth II) lakonan Colin Firth yang berusaha keras untuk mengatasi dirinya yang gagap untuk bercakap lalu menggunakan khidmat terapi Lionel Logue lakonan (Geoffrey Rush) yang "unorthodox". Akhirnya filem ini memaparkan nilai persahabatan antara King George VI dan orang kebanyakkan.

Penulis skrip filem ini David Seidler sebenarnya adalah seorang yang gagap juga semasa beliau kecil disebabkan trauma terhadap peperangan yang boleh membawa kepada gagap berlaku. Semasa beliau remaja, Seidler berinspirasi untuk mengkaji tentang kehidupan King George VI sehingga pada dewasa membawa beliau kepada pertemuan kaitan Logue dalam kehidupan King George VI. Anak Lionel Logue, Dr Valentine Logue pewaris kepada Lionel Logue akhirnya bersetuju untuk berjumpa dengan Siedler membincangkan tentang ayahnya. 

9 minggu sebelum filem hendak dilakonkan penemuan diari Lionel Logue membuka lembaran baru apabila banyak penyataan dalam diari akhirnya dimasukkan untuk menambah unsur sejarah asli kepada filem ini. Geoffrey Rush produser filem ini bersetuju untuk menjalankan penggambaran filem ini sekali memegang watak Lionel Logue dalam filem ini. 

ULASAN FILEM

Kalau menurut penulis lakon layar hebat America, Syd Field  10minit awal filem adalah tunjang kekuatan sesebuah filem untuk menarik perhatian audiens daripada kalangan orang yang biasanya hadir menonton filem dengan otak yang kosong. King's Speech berjaya melakukannya dengan sangat baik meninggalkan 1001 persoalan kepada penonton untuk mencari titik dan motif kemana akhirnya filem ini akan bergerak.

Dalam King's Speech, 10 minit pertama memaparkan Putera Duke of York, Albert, anak kedua King George V (selepas ini King George VI) ingin berucap dihadapan khalayak ramai rakyat England di Wembley Stadium pada tahun 1925 yang disiarkan secara live kepada seluruh tanah jajahan England. Isteri kepada Albert, Duchess of York, Elizabeth Bowes-Lyon lakonan Helena Bonham Carter selalu ada bersamanya ketika beliau memberi ucapan. Dalam ucapan ini beliau telah gagap dan tidak dapat memberikan ucapan yang baik.

Ucapan pertama Albert Duke of York yang akhirnya jadi King George VI
Timbul satu persoalan kepada penonton yang bukan mengkaji sejarah seperti aku kenapa seorang raja boleh tidak boleh bercakap ? Kenapa beliau ada masalah gagap dan apa persepsi masyarakat terhadap raja bergini rupa. Persoalan - persoalan sebegini la yang telah ditinggalkan untuk menarik minat audiens melekat menonton filem ini akhirnya. 

Dalam babak awal filem ini juga dijelaskan bagaimana Albert Duke Of York menerima rawatan daripada terapi pengucapan tetapi gagal dan beliau putus asa. Awal babak telah memeperlihatkan sikap panas baran dan mudah melenting Albert sehinggalah isterinya bertemu dengan Lionel Logue seorang terapi yang menggunakan cara berbeza dalam rawatan beliau kepada pesakit gagap. 

Duchess of York Elizabeth akhirnya bertemu dengan Lionel Logue daripada cadangan sebuah persatuan. Pertemuan Elizabeth dan Logue membawa seribu makna kerana Logue pada awalna enggan merawat "Mr Johnson" (nama yang diperkenalkan oleh Elizabeth sewaktu pertama kali bertemu Logue, menggunakan nama digunakan oleh Duke of York Albert ketika dalam askar laut) kerana syarat rawatan perlu dilakukan dirumahnya. Akhirnya setelah mengetahui Elizabeth adalah Duchess of York, beliau bersetuju dan syarat masih kekal sama. Rawatan masih di rumahnya. Mereka bersetuju.

Sesi latihan rawatan kepadanya
Bermulalah kisah perkenalan Logue dengan Duke of York Albert pada sesi pertama mereka berjumpa. Logue ingin memanggil Duke of York Albert dengan nama gelarannya dalam keluarganya iaitu Bertie iaitu suatu kesalahan untuk panggilan beraja bagi orang kebanyakkan. Rawatan kepada dia dimulakan dengan membaca ayat daripada Hamlet karya Shakespeare " To be, or not to be" sambil mendengar muzik dan direkodkan oleh Logue. Sikap mudah putus asa Duke of York Albert ini digambarkan apabila beliau cepat putus asa dan tidak mahu lagi terima rawatan daripada Logue. Logue akhirnya menghadiahkan pita rekod tadi kepada Albert.

Setiap aksi setiap perkara dalam filem ini diadun kembali untuk mempunyai pertalian yang amat baik sebagai contoh semasa rawatan pertama ini Logue ada membuka tingkap untuk memberi udara luar masuk dan ini ada perkaitan dengan akhir filem ini bagaimana sewaktu ucapan terakhir filem ini sewaktu King George berucap yang ditemani Logue sekali lagi menggunakan teknik membuka tingkap untuk memberi udara yang baik supaya beliau berucap dengan baik. Inilah kekuatan filem ini yang amat teliti dalam penulisan skrip berdasarkan setiap babak yang mempunyai makna yang tersendiri bukan hanya sekdar memanjangkan durasi filem.

Bapa Albert yang masih memerintah iaitu King George V menegaskan bagaimana pentingnya ucapan seorang raja kepada rakyat kepada anaknya menyeru semangat Albert kembali untuk mendengar pita rakaman Logue berikan dan akhirnya terkejut dengan kelancaran beliau dalam pita tersebut. Bermulalah pengembaraan dan persahabatan seorang putera raja dan seorang doktor rakyat kebanyakkan dalam usaha merawat penyakit gagap beliau. Bermula nilai persahabatan mereka ditonjolkan dengan bagaimana digambarkan rapat dan selesanya mereka bersama sehinggakan sejarah lampau bagaimana Albert gagap diceritakan kepada Logue. Kisah ahli keluarganya juga dikongsi bersama dengan Logue. Namun fakta sejarah yang mungkin menyebabkan ketidakpastian ialah adakah benar Logue memanggil Duke of York Albert dengan panggilan Berthie ataupun "Your Royal Highness".

Konflik bermula apabila kematian King George V dan pewaris takhta akan jatuh kepada abang Albert iaitu Edward namun kisah sejarah penting dalam institusi beraja England siterangkan dengan jelas bagaimana Edward ingin berkahwin dengan Wallis seorang perempuan yang telah bercerai dua kali dan dalam undang-undang England raja tidak boleh berkahwin dengan seseorang orang begini. Akibat ingin juga berkahwin Raja Edward meletak jawatan dan diserahkan kepada adiknya iaitu Albert yang menjadi King George VI.

Secara ringkasnya filem ini penuh dengan nilai humanistik kerana persahabatan diantara orang sahabat yang penuh dengan konflik diantara mereka hinggakan mereka boleh menjadi sahabat yang baik sehingga King George VI meninggal berdasarkan fakta sejarah. 

Colin Firth menggarap watak King george VI dengan sangat baik, mempamerkan seorang yang panas baran penuh dengan ego seorang raja dan seorang yang kadang-kadang tampak lemah dengan kelemahan sendiri. Garapan watak Colin Firth diharus diberikan pujian kerana bukan senang untuk berlakon watak gagap dan mengubah emosi dari neutral kepada baran sekelip mata.

Lakonan Colin Firth amat membanggakan sehinggakan terima anugerah Globe Award pelakon terbaik.
Sinematografi filem King's Speech berjaya menimbulkan satu memori yang pasti melekat di minda anda bagaimana wide shot digunakan ketika mereka bersama membuat rawatan hingga zooming kerusi kemudia di out shot balik berubah kepada jenis rawatan yang lain. Danny Cohen selaku pengarah sinemotografi filem ini menerima arahan daripada Tom Hooper barangkali untuk menggunakan keseluruhan wide shot bagi menampakkan realiti kehidupan, gerak bahasa badan dan latar keseluruhan mereka seperti kita sedang dihidangkan dengan sebuah teater tentang kehidupan Raja George. 
Sinematografi yang wide shot ! Zoom and out at the sofa...Pergh style giler !

Lebih penting filem ini boleh menjadi suatu bahan ilmiah bagi mereka yang ingin mengetahui kisah silam King George VI yang mungkin sudah banyak difilemkan. Kegigihan, semangat juang untuk membela negara daripada belenggu penjajah iaitu German dan keyakinan seorang sahabat kepada sahabat antara perkara menyulami filem ini sehingga aku rasa ia wajar diangkat sebagai sebuah karya epik pernah dihasilkan dalam banyak filem sejarah yang aku tonton. 


Suntikan emosi kalau lebih banyak ditonjolkan untuk sebuah persahabatan mungkin akan menjadikan filem ini lebih baik. Tangisan dan air mata dan kata-kata semangat motivasi dari seorang sahabat kepada seorang raja perlu ditambah untuk menambah rencah kepada audiens bahawa persahabatan bukan boleh dinilai dengan wang ringgit mahupun harta kekayaan juga kedudukan. 

Pergilah menonton di pawagam bila release 17 Februari ini

Keseluruhan : 4.5/5

No comments:

Post a Comment